Tuesday, February 17, 2009

Pentingnya mengawal rumpai dalam sawah padi

Tanaman secara tabur terus, T. T. merupakan kaedah pertapakan tanaman yang popular di Malaysia. Kepesatan kaedah ini sejak akhir 1970-an dari hanya kurang daripada 1% telah meningkat hampir 100% pada tahun 2000. Spektrum komposisi spesies rumpai telah bertukar dengan cepat selepas amalan T. T. dijalankan berterusan dari musim ke musim. Fenomena ini sepatutnya diberi perhatian oleh kerana rumpai menjadi masalah utama yang boleh menjejaskan pengeluaran hasil padi dengan banyak.
+++++
Kawalan rumpai dalam tanaman T. T. sangat penting untuk menjamin kejayaan pengeluaran hasil padi yang optimum. Biasanya kawalan dalam tanaman mencedung tidaklah sukar kerana para petani telah biasa dengan kaedah ini. Bagaimanapun, penyediaan tanah yang kurang sempurna dalam T. T. didapati menggalakkan infestasi rumpai. Oleh itu, kawalan rumpai yang sempurna merupakan kunci untuk mendapatkan hasil yang tinggi.
+++++
Terdapat dua perkara penting dalam program kawalan rumpai bersepadu yang berkesan. Pertamanya bilakah masa terawal rumpai perlu dikawal dan yang kedua bilakah tempoh masa rumpai tidak menjejaskan hasil tanaman bila dibiarkan tumbuh bersama tanaman. Prinsip utama kawalan rumpai bersepadu yang patut diberi perhatian iaitu inventori rumpai dan tahap serangannya, pencirian bioekologi rumpai, tempoh kritikal persaingan rumpai-tanaman serta ambang ekonomi dan kaedah-kaedah kawalan rumpai.
+++++
Dalam tanaman padi, rumpai boleh dikelaskan kepada kelompok daun lebar, rusiga, rumput (daun tirus) dan rumpai air (tenggelam). Pelbagai spesies rumpai boleh tumbuh bersama tanaman T. T. Rumpai yang kuat bersaing (kompetitif) dalam sistem tanaman ini ialah daripada daun tirus seperti rumput sambau (Echinochloa crus-galli kompleks), rumput miang (Leptochloa chinensis) dan rumput colok cina (Ischaemum rugosum). Namun demikian, akhir-akhir ini masalah padi angin (Oryza sativa kompleks) telah memberi ancaman kepada penerusan tanaman T. T. di Malaysia.
+++++
Tulisan sumbangan :-
DR AZMI MAN
PEGAWAI PENYELIDIK
MARDI SEBERANG PERAI

1 comment:

  1. Artikel tuan terlalu umum.Cuba lebih spesifik agar maklumat tuan dapat diinterpretasikan kepada aksyen oleh petani-petani.Panduan panduan yang diterima dari pembekal-pembekal racun lebih bersifat promosi produk berbanding kaedah-kaedah yang patut diamalkan.Jadi kalau nak bincang tajuk kawalan rumpai lebih baik terus kepada kaedah dan masanya mula bendang ditrektor hingga keperingkat tuaian

    ReplyDelete