Tuesday, February 17, 2009

Faktor yang mempengaruhi populasi SGE dalam sawah

Dalam merangka strategi kawalan siput gondang emas (SGE), beberapa faktor yang mempengaruhi populasi siput dalam sawah perlu diberi pertimbangan. Beberapa faktor utama ditunjukkan dalam gambarajah di bawah :-


Bilangan siput yang terdapat dalam sawah tergantung kepada bilangan siput sedia ada dalam sawah, bilangan siput yang keluar daripada berehat dalam tanah dan kemasukan SGE daripada sumber luar seperti tali air, parit dan saliran air buang.

Kawalan SGE yang berkesan hanya dapat diperolehi sekiranya siput yang terdapat dalam tanah dapat digalakkan untuk keluar dengan cara membanjiri sawah untuk satu jangkamasa yang tertentu dan mengumpan siput untuk keluar. Cuma siput yang aktif dalam sawah dapat dikawal menggunakan racun atau melalui pelepasan itik. Kemasukan SGE daripada sumber luar sawah dapat disekat dengan menggunakan jaring, perangkap atau sebarang bentuk penghalang.

Melakukan rawatan racun siput dalam petak sawah sahaja tidak akan dapat memberi perlindungan kepada anak semaian padi. Semua siput yang terdapat dalam sawah mungkin dapat dimusnahkan apabila rawatan racun siput dilakukan. Namun, apabila air dimasukkan ke dalam sawah pada 7 – 10 hari selepas menabur atau dua ke tiga hari selepas mencedung, siput yang terdapat dalam tanah akan keluar dan memakan anak semaian.

Begitu juga, siput akan masuk kembali ke dalam sawah melalui air yang dimasukkan dari tali air. Rawatan menggunakan racun siput menjadi sia-sia apabila lebih banyak siput akan keluar daripada dalam tanah dan masuk melalui sistem pengairan. Melakukan rawatan tambahan pada peringkat ini mungkin tidak lagi praktikal kerana aras air yang dimasukkan seringkali tidak dapat dikawal dengan berkesan dan memerlukan penggunaan jumlah racun yang lebih banyak.

Oleh itu kawalan terhadap siput yang terdapat dalam tanah dan menghalang kemasukan siput daripada luar mestilah dilaksanakan secara bersepadu dengan kawalan menggunakan racun kimia. Kawalan SGE yang berkesan tidak akan diperolehi sekiranya salah satu daripada tiga kaedah kawalan ini tidak dilaksanakan secara bersepadu.

Tulisan sumbangan :-

EN. YAHAYA HUSSAIN

PEGAWAI PENYELIDIK MARDI TELONG

2 comments:

  1. Salam, saya nak tanya en. Yahaya. Laman Padi di MAEPS Serdang telah dilanda SGE. Kami sedang berusaha membanterasnya dgn mengutip secara manual dan umpan dgn daun betik. Adakah saya perlu meracun guna Baylucide dan b/m nak apply. Status pokok 21 hari lps tnm/petak 0.32ha. 4 petak yg lain belum tnm.Khairani

    ReplyDelete
  2. Puan Khairani, kadar penggunaan Bayluscide adalah 315g/ha. Jadi, boleh buat kiraan berdasarkan keluasan tapak di Laman Padi. Untuk keterangan yang lebih terperinci harap Puan dapat berhubung terus dengan En. Yahaya Hussain.
    Terima kasih

    ReplyDelete