Tuesday, February 17, 2009

Fauna serangga di sawah padi

Terdapat 3 kategori serangga yang terdapat dalam ekosistem sawah padi. Kategori pertama adalah spesies serangga yang menjadi perosak kepada tanaman itu sendiri. Kategori serangga perosak ini dibahagikan kepada perosak major yang sentiasa mendatangkan kerosakan serius secara berulang dan perosak minor yang cuma mendatangkan kerosakan serius sekali-sekala. Status perosak ini adalah tidak tetap dan boleh berubah-ubah bergantung kepada persekitaran serta habitat. Ini bermakna perosak minor boleh menjadi major dan begitu juga sebaliknya.

Terdapat lebih kurang 12 jenis spesies perosak utama dan 20 jenis perosak minor yang terdapat di sawah padi. Dari segi tabiat serangan, kumpulan serangga perosak ini boleh dibahagikan kepada pengorek batang, penghisap batang dan daun, penggulung daun, pemakan daun, dan penghisap biji.


Beberapa spesies serangga perosak utama yang menyerang pokok padi muda

Beberapa spesies serangga perosak utama yang menyerang pokok padi matang

Kategori ke-2 pula meliputi serangga yang bertindak sebagai pemangsa atau parasitoid kepada serangga perosak. Serangga jenis ini memainkan peranan yang penting dalam mengawal populasi serangga perosak daripada menjadi tinggi. Selain serangga, terdapat juga beberapa kumpulan organisma lain yang turut bertindak sebagai musuh semulajadi (MSJ) kepada serangga perosak padi. Antaranya ialah labah-labah, nematod, bakteria, kulat, virus dan juga binatang seperti katak serta ikan.

Kategori ke-3 adalah kesemua spesies serangga yang terdapat dalam ekosistem sawah padi yang tidak berfungsi sebagai serangga perosak mahupun MSJ serangga perosak. Serangga-serangga ini mungkin merupakan serangga yang berhijrah atau yang hidup pada rumpai yang terdapat dalam habitat tersebut. Dipercayai bahawa spesies serangga 'neutral' ini berkemungkinan menjadi sumber makanan atau hos alternatif kepada kumpulan pemangsa dan parasitoid yang secara normalnya menyerang serangga perosak. Kehadiran serangga 'neutral' ini juga membantu mengekalkan populasi MSJ sekiranya populasi serangga perosak rendah.

Tulisan sumbangan :-

BADRULHADZA AMZAH

Pegawai Penyelidik RIC

MARDI Seberang Perai

No comments:

Post a Comment

Post a Comment