Showing posts with label Aktiviti. Show all posts
Showing posts with label Aktiviti. Show all posts

Monday, March 9, 2009

Latihan Lapangan Kursus Asas 1 PBLS

Bersempena dengan pelaksanaan Projek Perintis Padi Kebangsaan, pihak MARDI turut menganjurkan beberapa siri kursus kepada petani yang merangkumi dua aspek iaitu :

1 - Aspek pengurusan penyakit dan perosak (Kursus Asas 1)
2 - Aspek penyediaan tanah, penanaman, pembajaan dan mekanisasi ladang (Kursus Asas 2)

Pada 23-26 Februari 2009 yang lepas, telah diadakan Kursus Asas 1 untuk petani dan pegawai agensi yang terlibat dengan projek perintis dari kawasan Projek Barat Laut Selangor. Kursus ini meliputi beberapa ceramah berkenaan pengurusan perosak dan penyakit bersepadu tanaman padi serta latihan di lapangan. Latihan di lapangan telah diadakan pada 25 Februari berhampiran PPK Titi Haji Idris. Latihan ini bertujuan untuk mengajar setiap peserta mengenal setiap jenis perosak dan penyakit yang ada di dalam petak sawah. Proses pembelajaran sebegini adalah amat penting khususnya kepada petani kerana dapat membantu dalam membuat keputusan yang tepat di lapangan.



Kursus Asas 1 ini juga telah diadakan untuk petani serta pegawai agensi yang terlibat dengan Projek Perintis Sarawak, Seberang Perai Utara, dan Kerian-Sg. Manik.

Taklimat kepada petani tentang pengurusan parit kongsi

Pada 19 Februari 2009 yang lalu, satu perbincangan antara beberapa orang pegawai penyelidik MARDI Seberang Perai bersama petani yang terlibat dalam Projek Perintis Padi telah diadakan di Permatang Binjai. Antara pegawai yang terlibat adalah En. Abu Hassan Daud dan En. Shahril Shah Ghazali (Pegawai Penyelidik Pusat Mekanisasi & Automasi) dan Puan Siti Norsuha Misman (Pegawai Penyelidik Pusat RI). Majlis ini telah dirasmikan oleh Dr. Ibrahim Omar selaku Pengarah MARDI Negeri Pulau Pinang.



Perbincangan ini menyentuh tentang aspek pengurusan parit dalam petak sawah petani. Pihak MARDI bercadang untuk membangunkan parit kongsi dalam petak setiap petani yang terlibat. Pembinaan parit kongsi ini akan memberikan beberapa manfaat kepada petani. Pengurusan air dapat dilaksanakan dengan lebih cekap seterusnya menyumbang ke arah proses pembentukan lapisan keras yang lebih sempurna. Selain itu, melalui pengurusan air yang berkesan, masalah padi angin dan juga serangan siput gondang emas dapat dikurangkan.




Cadangan pihak MARDI ini telah mendapat reaksi yang positif daripada petani. Kerja-kerja pembinaan parit akan dimulakan pada musim penanaman yang akan datang. Diharapkan agar usaha ini dapat menyumbang ke arah pengeluaran hasil yang mapan dan berlestari.

Thursday, March 5, 2009

Bengkel CD-Based Pengurusan Perosak Bersepadu Tanaman Padi Ke-1

Buat julung kalinya, satu bengkel berkenaan pengurusan perosak bersepadu tanaman padi berasaskan penggunaan cakera padat telah dianjurkan pada 4-7 Ogos 2008. Penganjuran bengkel ini adalah hasil usaha J/K Teknikal Perosak & Penyakit Tanaman Padi Kebangsaan dengan kerjasama MARDI bersama MADA, FELCRA dan Jabatan Pertanian. Bengkel yang berlangsung selama 4 hari ini bertempat di Ibu Pejabat Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) di Alor Star, Kedah.

Objektif penganjuran bengkel :
  • Memberi maklumat berkenaan pengurusan bersepadu perosak dan penyakit yang menyerang tanaman padi melalui medium teknologi maklumat

  • Menyediakan ruang untuk perkongsian ilmu, kemahiran dan maklumat berkaitan pengurusan perosak dan penyakit tanaman padi di Malaysia

  • Peserta dapat menggunakan pendekatan pengurusan perosak bersepadu berasaskan cakera padat dalam membantu membuat keputusan di lapangan

  • Untuk mengetahui maklumbalas berkenaan pengetahuan dan kemahiran peserta dalam mengenalpasti perosak dan penyakit


Bengkel ini merangkumi dua aspek pembelajaran iaitu kuliah di dalam makmal komputer dan juga latihan di lapangan. Setiap topik disampaikan berpandukan nota yang terdapat di dalam CD dan diakhiri dengan sesi soal jawab di antara peserta dan penceramah. Peserta juga akan menjawab soalan kuiz untuk setiap topik berdasarkan nota pada CD.


Latihan di lapangan diadakan di Kg. Sg. Baru Tengah A, PPK I-II Kuala Sungai, Alor Setar. Para peserta dibahagikan kepada 5 kumpulan. Setiap kumpulan perlu mencari dan mengambil seberapa banyak yang mungkin sampel penyakit, serangga perosak, musuh semulajadi, padi angin dan rumpai. Kemudian, mereka perlu mengecam dan mengenalpasti setiap jenis penyakit, serangga perosak, musuh semulajadi, padi angin dan rumpai yang telah diambil.



Diharapkan segala pengetahuan dan pendedahan yang diperoleh melalui bengkel ini dapat membantu semua peserta yang terlibat dalam meningkatkan kemahiran khususnya dalam pengurusan perosak dan penyakit tanaman padi. Bengkel ini sekali lagi telah diadakan untuk staf IADA Kerian-Sg. Manik pada 18-21 November 2008 bertempat di Tg. Karang, Selangor.

Bagi tahun 2009, dijangkakan bengkel ini akan diadakan untuk staf KADA pada 16-19 Mac 2009 di Kelantan. Semoga dengan adanya bengkel seumpama ini, industri pengeluaran padi negara mampu menuju ke arah pengeluaran hasil yang lestari.