Friday, February 6, 2009

Pengantar

Pada masa lalu, kebanyakan pesawah padi di Malaysia menanam kultivar padi tradisional dan bergantung sama ada kepada kawalan perosak secara fizikal, mekanikal, serta kultura ataupun tidak mengamalkan kawalan langsung. Penggunaan racun perosak juga sangat terhad oleh kerana potensi hasil padi yang rendah. Walaupun terdapat tanaman yang musnah, serangan yang teruk atau secara besar-besaran jarang terjadi.

Pengenalan penggunaan kultivar padi berhasil tinggi secara meluas sejak 2 dekad yang lalu serta perubahan berkaitan amalan penanaman telah memberi kesan terhadap kebangkitan perosak seperti serangga, penyakit, rumpai, siput gondang emas, dan tikus. Potensi padi berhasil tinggi ini juga turut meningkatkan penggunaan pracun perosak yang mana dapat mendatangkan kemudaratan kepada organisma bukan sasaran, pencemaran alam sekitar serta menyumbang kepada kerintangan perosak terhadap racun kimia.

Bagi mengurangkan masalah ini, para pesawah padi seharusnya mempelbagaikan atau memperkayakan kaedah pengawalan perosak-perosak ini di samping bijak dalam menguruskan pembajaan serta amalan kultura. Strategi sebeginilah yang sedang diusahakan oleh pihak MARDI dengan kerjasama beberapa agensi pertanian lain yang dikenali sebagai ‘Pengurusan Perosak Bersepadu Tanaman Padi’.

Blog ‘IPMpadi’ ini merangkumi pengurusan perosak, pembajaan serta nutrien tanaman padi secara menyeluruh. Segala maklumat dalam blog ini adalah praktikal dan mudah difahami. Blog ini ditujukan khas buat para ahli akademik, pelajar, pengurus ladang, agen-agen pengembangan dan pesawah padi yang terlibat dalam penyelidikan serta penanaman padi. Diharapkan dengan adanya laman blog ini sebagai panduan, sedikit sebanyak ianya dapat menangani masalah yang berkaitan dengan perosak tanaman padi serta pengurusan nutrien seterusnya menyumbang ke arah peningkatan hasil padi yang lestari.

2 comments: